Thursday 8 December 2011

Penyelesaian Masalah Matematik


Menurut Krulik dan Rudnick (1989), penyelesaian masalah merupakan satu proses yang kompleks dan sukar dipelajarinya. Ia mengandungi satu siri tugasan dan proses pemikiran yang dihubungkait rapat untuk membantu pembentukan satu set heuristik atau corak heuristik. Ia merupakan satu set cadangan dan soalan yang harus dilalui oleh pelajar untuk membantunya dalam penyelesaian masalah. Heuristik adalah kaedah umum yang dapat diaplikasikan kepada semua kelas masalah. Terdapat beberapa model penyelesaian masalah yang sering digunakan dalam pendidikan matematik seperti Model Lester (1975), Model Mayer (1983), Model Polya (1973) dan Model Schoenfeld (1985). Model Polya digunakan di sekolah dalam kurikulum matematik bagi Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan sekolah rendah (KBSR). Model empat langkah ini juga mudah difahami dan sering digunakan dalam penyelidikan masalah matematik di Malaysia (Lau, Hwa, Lau, & Limok 2003; Noor Azlan & Lui, 2002). Menurut Model Polya (1973), terdapat empat fasa penyelesaian masalah matematik merangkumi:
1. Memahami masalah;
2. Merancang pelan;
3. Merancang pelan,
4. Mengimbas kembali.
Dalam setiap fasa penyelesaian, beberapa soalan boleh ditanya atau cadangan untuk membantu pelajar memahami masalah dan juga memperolehi penyelesaiannya. Salah satu pendekatan pengajaran matematik ialah pendekatan berpusatkan masalah (problem-centered approach). Pendekatan ini dipercayai dapat a) memupuk penerokaan idea-idea penting matematik (National Council of Teachers of Mathematics, 2000) b) memperkembangkan kuasa matematik (develop mathematical power) iaitu keupayaan untuk membuat matematik dan mempunyai celik akal (insight) dalam pembelajaran matematik (Lester, Masingila, Mau, Lambdin, dos Santon, & Raymond, 1994) dan c) mengalihkan penekanan daripada melakukan aktiviti kepada memikirkan hubungan antara idea-idea matematik (Schoenfeld, 1985). Schroeder dan Lester (1989) memberi komen bahawa sesuatu masalah boleh digunakan sebagai satu cara untuk mempelajari sebarang isi kandungan matematik.

No comments:

Post a Comment